Ad Code

Responsive Advertisement

Faedah/ Kepentingan/ Kelebihan Melancong Dalam Negara

Contoh Karangan Faedah/ Kepentingan/ Kelebihan Melancong Dalam Negara

Kata orang, “Jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita mengenepikan destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk berdarmawisata? Oleh yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya jika kita sebagai warga Malaysia melancong dalam negara.

Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita telah mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan. Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum rakyat Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap seperti lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada rumput-rumput yang sedang diragut.

Di samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan menawarkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi oleh banyak faktor seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya, pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik.

Jika kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke luar negara, kita memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian. Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya kita diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita. Deduksinya, jika hendak melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar.

Tambahan pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Konklusinya, pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan. Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk memajukan industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan demi kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Catat Ulasan

0 Ulasan