Ad Code

Responsive Advertisement

Strategi Untuk Memajukan Sektor Pertanian [Syarahan]

Contoh Karangan Strategi Untuk Memajukan Sektor Pertanian [Syarahan]


Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, dif-dif kehormat, tuan-tuan, puan-puan dan hadirin sekalian, assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mengudang saya untuk memberi ceramah tentang Sektor Pertanian dan Asas Tani. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan tentang strategi untuk memajukan sektor pertanian dan industri asas tani supaya sektor tersebut menjadi sector yang moden dan berdaya saing.

Hadirin sekalian,
      Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian dan industri asas tani telah dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi Nasional, kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan juga mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara. Sesungguhnya, banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian ini.  

     Pelbagai langkah boleh diambil untuk memajukan sektor pertanian dan industri asas tani di Negara Malaysia supaya sektor ini menjadi sektor yang moden dan berdaya saing. Antaranya ialah peranan Kementerian Pertanian dan sektor swasta. Langkah-lagkah yang boleh dibuat oleh pihak Kementerian Pertanian dan sektor swasta ialah dengan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di pusat-pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan industri asas tani. Mereka perlulah memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik dan sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita dengan menggunakan bioteknologi yang canggih. 

Hadirin yang dihormati,
      Dalam memajukan sektor pertanian dan industri asas tani juga, salah satu faktor penting ialah modal. Modal atau sumber kewangan memainkan peranan penting bagi menjalankan pertanian secara perladangan ataupun pekebun kecil. Pinjaman boleh dibuat melalui skim pinjaman berkadar faedah rendah yang disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro yang menyediakan pinjaman bagi pekebun kecil. Dengan modal yang mencukupi, pekebun kita akan dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia untuk menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh itu, dengan bantuan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. 
  
     Selain itu, sistem pengagihan perlu disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Sistem pengagihan penting supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi peladang digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada para petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu, pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna. Selain daripada itu, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita. Sistem pengagihan yang teratur dapat memantapkan harga produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab. 

     Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya hasil pertanian mereka hanya sekadar sara diri dan mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Bagi mengikut rentak perkembangan industri, petani kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih demi meningkatkan produktiviti. Langkah ini dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan meningkatkan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti penggunaan padi hibird dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara umumnya, kaum petani perlulah disuntik semangat transformasi dalam diri mereka menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.

     Selain itu juga, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini bagai “menyelam sambil minum air”. Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara. 

Hadirin yang budiman,  
     Sebagai kesimpulanya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini menjadi sector yang moden dan berdaya saing. Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan dan langkah yang berkesan bagi mengelakkan sector pertanian dan asas tani di negara kita menghadapi masalah.

Sekian, terima kasih.

Catat Ulasan

0 Ulasan