Contoh Karangan Sebab Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak itu seperti kain putih. Dia dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa, dan kedua-dua ibu bapa merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain putih tersebut. Ini menunjukkan peranan ibu bapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang dilahirkan menjadi insan yang sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang yang secukupnya. mereka haruslah dibelai, didodoi, dan diberi segenap perhatian. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku, harapkan pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan ini mempunyai kebenarannya. Ini telah terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat dalam penderaan kanak-kanak. Jika diselak dada akhbar sesekali kita akan digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang dipaparkan di dada akhbar. Mengapakah fenomena negatif ini akan berlaku? Adakah ibu bapa telah melupakan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan kain putih tersebut? Kita semua haruslah mengkaji masalah ini secara mendalam dan berusaha dengan giat bagi mengatasi masalah yang semakin kronik dan melarat ini dengan konsep jika tiada angin yang bertiup masakan pokok akan bergoyang dan dengan keyakinan bahawa setiap penyakit pasti ada penawarnya.
Salah satu punca berlakunya fenomena negatif ini adalah kerana masalah dalaman sesebuah keluarga. Kajian menunjukkan penderaan sering dilakukan oleh orang yang berdekatan atau mempunyai pertalian darah dengan anak-anak yang menjadi mangsa. Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak-kanak termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Apabila keadaan ini berlaku, produktiviti terhadap kerja ibu bapa tentulah akan merosot. Mereka seterusnya akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti. Kalau tidak, ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang akan menambahkan ketegangan mereka. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi karenah anak-anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila ditambah pula dengan kenaikan harga minyak belakangan ini yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak-anak itu didera.
Selain itu, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca berlakunya penderaan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa penderaan kanak-kanak sering dilakukan oleh orang yang pernah menjadi mangsa penderaan semasa mereka dalam alam kanak-kanak dahulu. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka pernah menjadi mangsa penderaan dan anak-anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Penderaan yang berterusan pada peringkat umur yang rendah sememangnya akan meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Semua ini telah menyebabkan titik permulaan di mana si anak akan dimarahi, ditengking dan tidak dihiraukan ataupun dipedulikan. Keadaan ini akan menjadi lebih kronik apabila ibu dan bapa mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat meminum minuman beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah , mereka tidak akan menyedari akan pembuatan mereka sendiri apabila mendera anak-anak mereka. Anak merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan menjaga dan membimbing anak tersebut ke arah yang benar.
Selain itu, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi antara faktor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung perbelanjaan membesarkan si anak dan terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah wang yang tertentu pada setiap bulan. Maka, saudara tersebut pula berjanji untuk menjaga si anak dengan harapan akan mendapat upah wang seperti yang dijanjikan pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberi upah wang seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak memberi pertimbangan pula akan menyebabkan si anak menghadapi akibatnya. Kadang-kala, penjaga akan memukul si anak dengan tali pinggang, mencucuk si anak dengan puntung rokok ataupun membiarkan si anak dalam keadaan kelaparan. Yang menyedihkan lagi , terdapat sesetengah penjaga akan mengejutkan masyarakat apabila si anak tersebut dianiaya melalui keganasan seksual. Apabila si anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh si anak menjadi lebam dan lemah dan seterusnya akan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pula tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka dengan saudara mereka.
Di samping itu, kurangnya pendidikan agama dalam kalangan pasangan suami isteri juga merupakan antara penyebab masalah penderaan kanak-kanak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama. Walau bagaimanapun, tidak ramai dala kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka. Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Sebagai orang dewasa, ibu bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan geram kepada mereka. Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri merupakan pasangan muda. Ini kerana pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Selain itu, mereka pun belum bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Di samping itu, orang muda pula sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda rumah, menangis sepanjang waktu , menconteng buku, dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak-anak pula akan menjadi sasaran kemarahan ibu bapa.
Konklusinya, punca berlakunya kes-kes penganiayaan terhadap kanak-kanak ini bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna. Ibu bapa juga haruslah berusaha untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak di samping menanam sikap sayang-menyayangi antara mereka. Selain itu, semua pihak seperti ibu bapa, guru-guru, kerajaan serta masyarakat juga perlulah bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini. Setiap pihak perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain. Sebenarnya, pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi fenomena negatif sebelum ini tetapi usaha tersebut bagai hujan jatuh ke pasir kerana usaha yang diambil tidak berterusan serta tidak berkekalan. Oleh itu, usaha baik yang diambil oleh setiap pihak perlulah dilakukan secara konsisten dan bukanlah hangat-hangat tahi ayam sahaja.
0 Ulasan