Contoh Karangan Usaha-Usaha Untuk Menggalakkan Rakyat Membaca
Para ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’ itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu membaca. Marcapada ini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah dilaksanakan di negara ini, namun keberkesanan kempen masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan masyarakat. Masa inilah saatnya untuk tenaga semua pihak yang bersepadu digemblengkan bagi membentuk masyarakat yang gemar membaca.
Minat membaca dalam setiap ihsan seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak kerana kanak-kanak seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorak dan mewarnai kehidupannya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana membaca di rumah dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan amalan membaca , bukan sahaja sekadar hobi tetapi untuk mencari maklumat tentang sebarang perkara yang tidak diketahui juga. Didiklah anak-anak supaya menjadi ihsan yang cemerlang kerana anak-anak semasa kecil mudah diajar dan dibentuk, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain itu, pihak sekolah juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam mendidik ihsan kelas pertama supaya gemar membaca. Pada tahun 2002, Kementerian Pendidikan dan Pelajaran Malaysia telah melancarkan Kempen Nilam di setiap sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengisi masa lapang para pelajar dan mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, di samping menambahkan lagi ilmu pengetahuan murid-murid. Sehingga kini, pihak sekolah masih menjalankan sesi pembacaan iaitu akitiviti nilam di sekolah dan menjadikan pusat sumber sekolah sebagai satu tempat rujukan maklumat serta dimuatkan dalam jadual kelas untuk pergi ke perpustakaan sekali-sekala. Usaha yang mulia ini perlu ditingkatkan lagi dengan berlipat ganda kerana murid-murid masih sukar dan tidak gemar melakukan aktiviti membaca. Sebaliknya, mereka lebih suka menggunakan ICT untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Tidak lupa juga kepada pihak media massa dan elektronik pada masa ini. Peranan mereka dalam menjayakan kempen galakan membaca amat besar kerana media massa dan elektronik berperanan sebagai ‘Penyebar maklumat untuk negara’. Hal ini telah dibuktikan melalui penyebaran ilmu melalui surat khabar, majalah, tayangan televisyen, siaran radio dan juga ruangan siber di Internet. Pada zaman teknologi dan maklumat ini, masyarakat menggunakan bahan-bahan elektronik sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mereka lebih menumpukan perhatian pada berita-berita hangat dan cerita-cerita sensasi yang dipaparkan oleh media massa terutamanya surat khabar. Oleh yang demikian, pihak media massa dan elektronik perlu menyeru dan menggesa masyarakat supaya membaca dan menyatakan sekali kebaikan-kebaikan membaca. Jika pihak media massa berbuat demikian, tentulah masyarakat negara ini akan menuruti tuntutannya. Begitulah besarnya pengaruh media massa dan elektronik dalam kehidupan masyarakat.
Dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak, minat membaca ternyata menurun dengan drastik. Kesedaran terhadap minat membaca terbukti menurun dengan begitu ketara sekali dalam kalangan dewasa khusunya mereka yang tidak terlibat dengan bidang pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan dengan keberkesanan kempen yang masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Apabila memasuki alam pekerjaan, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menjadi hambatan utama seseorang itu kurang berminat untuk membaca. Sekiranya ada yang berminat, pembacaan mereka sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Bahan bacaan yang dipilih pula hanya bahan-bahan ringan dan bahan hiburan. Sindrom ini sebenarnya menjurus ke arah pembentukan bangsa yang lemah, jumud dan tidak bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang mementingkan pemerolehan maklumat terkini. Oleh yang demikian, langkah yang proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan dan faedah membaca.
Intihanya, semua pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti perlulah segera bekerjasama sepetri aur dengan tebing untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara. Setiap insan juga perlu berusaha sendiri untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca dalam proses melahirkan dan membentuk pelapis generasi akan datang dan juga pemimpin berwibawa yang berkaliber dan berwawasan tinggi serta mempunyai ilmu pengetahuan yang dalam dan tiada tandingannya kecuali dengan Tuhan. Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, berdagang dengan ilmu lebih baik daripada berdagang dengan harta; ilmu akan bertambah jika diperdagangkan, manakala harta pula akan berkurangan jika diperdagangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut kempen galakan membaca yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan hati yang terbuka dan muka yang manis.