Contoh Karangan Usaha-Usaha Untuk Memartabatkan Batik Malaysia
Batik merupakan satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejarah mengatakan sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Perusahaan batik telah mula di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa ‘tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Selain itu, batik juga dikenali sebagai ambatik yang bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Industri batik di Malaysia dirintis oleh Su Ishak di Kelantan pada tahun 1911. Di alam Melayu pula, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenal sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.
Seni batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia. Walaubagaimanapun, industri batik ini mula merudum tetapi dimartabatkan semula pada tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood. Sememangnya, bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Justeru, langkah proaktif dan berterusan perlu diambil demi memartabatkannya kembali.Dalam usaha memartabatkan industri seni batik di Malaysia, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Ungkapan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’ menggambarkan betapa pentingnya aktiviti promosi yang agresif untuk memperkenalkan seni batik kepada masyarakat di Malaysia yang semakin meminggirkan tradisi dan budaya. Hal ini demikian kerana masyarakat di negara kita kurang didedahkan dengan amalan tradisi mahupun kraf tangan yang menjadi warisan nenek moyang kita terdahulu. Kerajaan telah menguatkuasakan agenda baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan di majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, masyarakat kita akan membuka mata dan memikirkan signifikannya pewajiban pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan motif sebenar kerajaan menguatkuasakan peraturan ini.
Usaha kerajaan ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan Perbadanan Kemajuan Luar Malaysia demi merealisasikan hasrat yang sama iaitu mengembalikan keagungan seni batik. Institut Kraf Negara(IKN) merupakan salah satu agensi bagi membantu mencapai matlamat ini. IKN merupakan pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir berteknologi terkini, usahawan kraf dan menjadi pusat rujukan, penyelidikan serta pemuliharaan warisan negara. Dalam hal ini, IKN dapat membantu melatih pengusaha batik yang baru dan ingin menambah ilmu dalam industri ini. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates(UAE). Dalam erti kata lain, dengan adanya agenda kerja yang tersusun dan sempurna, misi memartabatkan seni batik ini pasti dapat dicapai.
Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, dimanakan dapat sagunya’ yang membawa maksud, tanpa usaha kita tidak akan dapat hasilnya. Dalam memartabatkan industri seni batik, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) haruslah giat dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam(IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta(IPTS) mestilah bijak mengambil langkah yang progresif demi membantu menaiktarafkan batik Malaysia. Misalnya, IPTA dan IPTS boleh memperkenalkan atau menawarkan matapelajaran seni kebudayaan batik kepada para pelajar di institut-institut tersebut. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan contoh universiti yang mempunyai fakulti seni tekstil ; di sini pelajar dilatih untuk menghasilkan batik. Di samping itu, IPTA dan IPTS juga boleh menganjurkan forum ceramah apresiasi batik dan pameran batik bertujuan untuk melahirkan pengusaha batik yang berkualiti dan mencambahkan kreativiti mereka dalam menghasilkan batik. Sekali lagi Institut Kraf Negara(IKN) memainkan peranan yang penting dalam melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik dan mengenal pasti corak batik terkini yang menembusi pasaran baharu. Jelaslah di sini bahawa usaha yang mapan dan agresif banyak membantu usaha memartabatkan dan mengglobalkan seni batik.
Selain itu, program promosi dan pemasaran yang agresif juga boleh melicinkan lagi usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan seni batik di Malaysia. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengambil langkah yang responsif dan drastik dengan mengadakan promosi yang berterusan di dalam dan di luar negara. Seni batik mula menapak di pasaran antarabangsa apabila batik menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat berpengaruh dan popular iaitu di Harrods,London. Pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ menggambarkan betapa keras usaha kerajaan dalam memurnikan usaha memartabatkan seni batik yang sangat bernilai ini.Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara turut memainkan peranan dengan mengadakan promosi dan jualan di pusat beli-belah, hotel, lapangan terbang, dan lain-lain tempat. Di samping itu, usaha Datin Seri Endon Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat melonjakkan industri batik di negara kita. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi memartabatkan industri batik negara kita.
Di samping usaha-usaha yang giat dilaksanakan, pengusaha batik turut memainkan peranan yang sangat penting. Pengusaha perlulah berani menanam modal demi menjalankan perniagaan mereka dan rajin menimba ilmu baharu seperti kata pepatah Melayu,’berkayuh sambil bertimba’. Selain itu, pengusaha juga boleh mengadakan kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha batik dan agensi kerajaan dengan mewujudkan institusi latihan batik. Usaha ini sememangnya dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat apabila terhasilnya batik yang berkualiti dengan wujudnya kerjasama yang dijalinkan.
Kesimpulannya, mutiara berharga seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi ini wajar dipertimbangkan supaya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pada masa hadapan, generasi muda akan datang menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dikekalkan untuk sekian lamanya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun temurun ini beralih kepada industri berdaya saing dan menampilkan kewibawaan bangsa. Semoga warisan tradisi khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa.